Perniagaan Multi-Level-Marketing dari sudut patuh syariah.

Mukadimah

Sejak kebelakangan ini, acapkali kita melihat rakyat Malaysia amnya yang terlibat dalam menjalankan perniagaan melalui cara Jualan Pelbagai Peringkat atau lebih dikenali sebagai ‘Multi-Level Marketing’ atau ringkasannya MLM. Ia merupakan salah satu bentuk perniagaan yang semakin berkembang di Malaysia dengan peningkatan statistik saban tahun.

Pada tahun 2002, nilai jualan syarikat jualan langsung adalah RM2 bilion. Pada tahun 2008 pula angka jualan meningkat kepada 4.3 bilion dan pada tahun 2011 angka jualan meningkat lagi kepada 8.5 Bilion. Bagi tahun 2012 pula , Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mensasarkan industri MLM bakal menyumbang RM 10 bilion kepada pendapatan ekonomi negara.

Jika dilihat dari aspek ekonomi, MLM merupakan salah satu sumber penting kepada ekonomi negara, namun dari sudut syariah, timbul satu persoalan. Adakah MLM merupakan suatu perniagaan yang dihalalkan oleh Islam?
Bagi mengukur MLM dari perspektif Islam, kita perlu melihat kepada beberapa sudut seperti hukum asal MLM, faktor-faktor yang mengharamkannya dan cara untuk keluar daripada unsur-unsur haram di dalam MLM.

 

Hukum Asal MLM

Hukum asal MLM adalah harus. MLM merupakan sesuatu yang diharuskan dalam Islam selagi ia tidak bertentangan dengan syarat asas muamalat Islam.

Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 23 Jan 2006; konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi-Level Marketing (MLM) yang diluluskan oleh kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam.

 

Faktor-faktor Yang Mengharamkan MLM

Namun demikian, hukum harus ini boleh menjadi haram jika MLM dimasuki dengan unsur-unsur perjudian, riba, berunsur skim piramid, dan penindasan.

Bagi unsur yang pertama iaitu perjudian, Kesatuan Fiqh sedunia pernah mengeluarkan satu fatwa ke atas satu peniagaan MLM, iaitu PT Biznas yang melibatkan unsur perjudian dalam perniagaan mereka. Sesetengah MLM mempunyai unsur perjudian kerana ahli yang mendaftar dibawah MLM tidak mahukan barangan yang dibelinya, sebaliknya hanya mahu menyertai rangkaian piramid, dan ingin perolehi pendapatan menerusi pendaftaran ahli baru.

Ditambah pula bayaran produk yang dibeli tidak semuanya masuk kedalam akaun syarikat perniagaan itu. Tujuan perniagaan adalah bagi menaikkan nilai seseorang, dimana ahli yang berada diatas (upline) akan sentiasa mendapat keuntungan, dan ahli dibawah (downline) hanya menyumbang mata kepada ahli diatas.

Sebahagian pembuat sistem MLM ini lebih tertarik dengan bonus yang berkonsepkan perjudian kerana ia boleh dijadikan bahan kempen untuk menarik orang ramai menyertainya. Justeru itu, nilainya menjadi sangat tinggi, tetapi ianya diharamkan kerana nilai yang tinggi tadi diperolehi dengan menzalimi pihak yang lain.

Seterusnya, MLM boleh menjadi haram apabila adanya unsur riba. Pembayaran yuran penyertaan tanpa sebarang pertukaran barang atau perkhidmatan kecuali dengan sejumlah wang yang munasabah untuk menampung kos permulaan bisnes adalah mengandungi elemen riba al-fadhl dan riba al-nasi’ah, iaitu meletakkan sejumlah wang sebagai yuran penyertaan secara tunai bertujuan untuk mendapat sejumlah wang yang lebih banyak, yang berlaku secara tangguh.

Ini dinamakan sebagai “fixed return” yang digunakan untuk menarik minat orang ramai menyertai rangkaian MLM tersebut.
Di samping itu, MLM boleh menjadi haram apabila dimasuki unsur skim piramid. Skim piramid atau MLM adalah haram mengikut pandangan Mufti Besar Arab Saudi, Shaykh ‘Abdul-‘Azeez Ibn ‘Abdullaah Aal ash-Shaykh. Skim piramid tidak mematuhi prinsip- prinsip Syariah kerana berteraskan unsur perjudian atau pertaruhan (qimar) melalui permainan wang iaitu “downline” yang baru ditaja oleh “upline” akan kehilangan wang penyertaan jika tidak berusaha mencari “downline” yang lain.

Ia memfokuskan kepada pencarian ahli baharu (downline) semata-mata dan bukan bertujuan bagi menjalankan perniagaan melalui aktiviti pergerakan produk kepada pengguna-pengguna secara wajarnya. Pendapatan peserta dan syarikat dalam skim piramid dijana daripada yuran penyertaan ahli baharu semata- mata dan bukan hasil daripada penjualan barang atau perkhidmatan.

Pembelian lebih daripada satu keahlian merupakan pendekatan yang mengandungi elemen skim piramid dan dengan itu adalah bertentangan dengan hukum syarak.

Unsur lain yang menjadikan MLM haram ialah dengan adanya unsur penindasan. Bagi sesetengah sistem MLM, ia mensyaratkan jumlah jualan tertentu bagi mendapatkan keuntungan. Ahli-ahli yang tidak mencapai jualan target akan diambil bahagian keuntungannya dan pihak syarikat akan memberikan kepada orang yang mencapai jualan target.

Seorang ahli yang berjaya menjual sebanyak 5 produk yang sepatutnya mendapat keuntungan asal bagi setiap satunya berjumlah RM2, tetapi ahli tersebut hanya diberikan RM1 kerana tidak berjaya mencapai jualan target dan baki RM1 diambil oleh syarikat untuk diserahkan kepada ahli yang berjaya mencapai jualan target.

Ini bermakna, ahli yang berjaya menjual 5 produk diberikan sebanyak RM5 dan RM5 lagi diserahkan kepada ahli yang berjaya mencapai jualan target seperti berjaya menjual sebanyak 10 produk. Justeru itu, ahli yang berjaya menjual sebanyak 10 produk mendapat RM25 (RM20 untung jualan dan ditambah bonus RM5 yang diambil daripada ahli yang tidak dapat mencapai jualan target).

Ini menyebabkan adanya unsur penindasan dan MLM boleh menjadi haram. Sedangkan konsep muamalat Islam ialah setiap seseorang berhak mendapat apa yang ia usahakan.

Alternatif Kepada Unsur Haram

Oleh itu, pengamal MLM perlulah menepati kriteria minima bagi mengelakkan urusniaga perniagaan MLM menjadi haram dengan adanya unsur-unsur yang dibincangkan di atas. Pertamanya, barangan yang dibeli mestilah mempunyai manfaat kepada dirinya, dan bukan semata-mata untuk menyertai rangkaian piramid. Produk itu juga haruslah berkualiti, dan boleh bermanfaat untuk si pembeli.

Seterusnya, bonus dan komisen perlulah jelas. Tiada pendapatan tanpa usaha dan kerja, jadi, setiap komisen serta bonus yang ditawarkan perlulah jelas dan setimpal dengan kerja yang dilakukan. Selain itu, ahli diatas (upline) juga perlulah menyumbang kepada perniagaan itu dan berusaha untuk memastikan kejayaan ahli dibawahnya (downline).

Perniagaan MLM pada kebiasaannya akan mengadakan sesi taklimat, atau perjumpaan dengan ahli kumpulan, ini perlu bagi memastikan komisen yang diperolehi oleh ahli diatas bukan hanya mengharapkan ahli bawahannya sahaja.

Pengamal MLM juga boleh mewujudkan sistem musyarakah dalam perniagaan MLM yang dijalankan. Ahli dan orang dibawahnya, perlulah mengamalkan pelan pemasaran secara musyarakah, iaitu perkongsian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal perjanjian.

Penutup

Sebagai kesimpulan, MLM yang hukum asalnya adalah harus kecuali apabila ia dimasuki oleh unsur-unsur haram. Dari sudut yang positif, sistem MLM boleh bertindak sebagai pemecah kepada tembok monopoli pasaran seterusnya dapat membantu orang Islam untuk mengembangkan produk mereka.

Pembaikan terhadap sistem MLM supaya bertepatan dengan syariat Islam sebagai strategi pemasaran produk orang-orang Islam adalah amat penting dalam keadaan dan suasana negara yang semakin membuka pintu globalisasi ekonomi.

Nota Editor: Artikel ini adalah sumbangan Farrah Salwani binti Nazeri, pelajar Undang-Undang Fakulti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Rujukan : www.majalahniaga.com

 

3 Tips memiliki network yang berkualiti

Menurut buku Love is the Killer App: How to win Business oleh Tim Sanders,  beliau menyebut untuk “mencintai” network kita. Maksudnya untuk benar-benar ingin membantu dan melihat orang lain berkembang. Dan bukannya semata-mata menggunakan network untuk kepentingan sendiri sahaja.  Dalam mendapat network yang berkualiti, 3 perkara penting perlu anda miliki:

  • Perlu berlimu

Untuk mendapatkan network yang baik, anda perlu menunjukkan bahawa anda seorang yang berilmu. Anda perlu banyak membaca buku dalam bidang anda sendiri. Sekurang-kurangnya 1 jam setiap hari berkenaan dengan industri anda. Ilmu ini dapat dikongsikan dengan network anda.

  • Perlu menambahkan jaringan

Cari peluang untuk ke majlis atau network gathering. Lebih ramai orang anda jumpa, lebih banyak peluang network anda boleh dapat. Satu peringatan di sini adalah, di dalam sesuatu majlis, jangan terlalu sibuk berpindah-pindah tempat dan mengedarkan kad bisnes anda. Fikirkan KUALITI hubungan yang anda boleh jalinkan, dan bukan sekadar KUANTITI.

  • Perlu punyai perasaan tolong menolong

Utamakan network anda dan bukan agenda anda terlebih dahulu. Lebih banyak bertanya dan mendengar daripada anda sahaja yang bercerita. Sebolehnya, bantu network anda tidak kira bidang apa pun, sebagai contoh, sekiranya network yang anda kenali seorang pemilik perniagaan cetakan, selepas berjumpa dan kenal, cuba dapatkan pelanggan cetakan untuknya. Anda tidak akan rugi apa-apa. Malahan, dengan mengutamakan agenda network anda, pastinya memberi kesan hubungan jangka panjang untuk anda!

 

Rujukan:

Tip untuk mendapat network berkualiti