Qaseh Kazim Network

5 AKTIVITI MENGATASI MASALAH ANAK KURANG FOKUS

5 Aktiviti Mengatasi Masalah Anak Kurang Fokus

Tip Keibubapaan | 0 comments

5 AKTIVITI MENGATASI MASALAH ANAK KURANG FOKUS & HIPERAKTIF

Berikut merupakan 5 aktiviti yang boleh kita lakukan bersama-sama anak dalam usaha menghadapi masalah anak kurang fokus, sama ada dari segi pembelajaran mahupun respon terhadap arahan. Selamat mencuba!

1. ‘Q & A BALL’

Q & A merujuk kepada ‘Question & Answer’. Bermain bola sambil bersoal jawab dengan anak membantu atasi masalah anak kurang fokus. Permainan ini melibatkan aktiviti membaling dan menangkap bola sambil bersoal jawab dengan anak.

Apabila kita membaling bola ke arah anak, tanyakan soalan kepada anak. Anak pula perlu menangkap bola sambil menjawab soalan tersebut.

Aktiviti ini bukan sahaja dapat melatih anak untuk fokus ketika ingin menangkap bola, tetapi juga fokus untuk mendengar soalan yang diajukan sebelum memberi jawapan.

2. ‘TOUCH YOUR BODY’

Permainan ini sangat mudah kerana ianya tidak memerlukan sebarang bahan. Ibu bapa akan memberi arahan kepada anak untuk memegang anggota badan. Anak perlu fokus untuk mendengar arahan daripada ibu bapa dan seterusnya mengikut arahan tersebut.

Dengan tahap fokus yang baik, anak pasti dapat menyentuh anggota badan tersebut dengan tepat dan cepat.

3. TIRU SUSUNAN KAD BERGAMBAR

Sediakan dua set kad permainan bergambar sama ada dengan menggunakan kad permainan sedia ada atau dengan menggunting sebarang bentuk atau mencetak sebarang gambar secara berpasangan.

Satu set gambar disusun dan ditunjukkan kepada anak. Minta anak untuk mengingati susunan gambar-gambar tersebut. Kemudian, tutup gambar tersebut dan minta anak menyusun semula gambar tadi dengan menggunakan satu set gambar lagi sepertimana yang dilihatnya.

Permainan ini bukan sahaja dapat melatih anak untuk lebih fokus, malah dapat melatih dan meningkatkan lagi keupayaan memori anak.

4. TEKA BENTUK

Ibu bapa perlu membina beberapa objek dengan menggunakan lego seperti kereta, kapal terbang, nombor, huruf dan sebagainya tanpa diketahui oleh anak. Kemudian, minta anak tutup mata dan beri binaan tersebut kepada anak.

Biarkan anak menyentuh, membayangkan objek tersebut dalam mindanya dan seterusnya meneka objek tersebut.
Lebih mudah lagi sekiranya ibu bapa menggunakan mainan, huruf atau nombor tiga dimensi (3 D) sama ada daripada jenis bermagnet, ‘foam’ atau blok sedia ada untuk disentuh dan diteka oleh anak .

5. AKTIVITI BERASASKAN PERGERAKAN

Sebarang aktiviti yang melibatkan pergerakan anggota badan anak terutamanya yang berkaitan dengan koordinasi tangan dan mata anak atau koordinasi tangan dan kaki anak juga dapat melatih anak untuk lebih fokus.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah bermain baling bola ke dalam bakul, sepak bola ke arah gol, boling botol, membina bangunan menggunakan cawan atau aktiviti mengasingkan objek mengikut kategori tertentu (sorting).

Subscribe for update

3 + 13 =